KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengesahkan akan bertanding sebagai presiden UMNO pada pada pemilihan parti itu 30 Jun ini.
Tengku Razaleigh berkata, keputusan tersebut dibuat setelah meneliti kedudukan UMNO serta memperhalusi implikasi akan keputusan tersebut terutamanya mengenai perkara berkaitan soal kepimpinan.
“Saya membuat keputusan ini demi kepentingan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik nasional yang mendukung hasrat kebangsaan untuk menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar serta teras negara.
“Dalam pada itu, saya juga yakin akan dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi sebagai parti yang penuh dengan pengalaman, “ katanya pada satu sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini.
Turut hadir bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. -K! ONLINE










