KANGAR – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jangan cuba bermain api dengan mengeluarkan kenyataan rasmi kementeriannya dalam bahasa Mandarin baru-baru ini.
Tengku Razaleigh yang mesra dipanggil Ku Li mengingatkan Guan Eng supaya tidak meneruskan perbuatan itu kerana boleh menimbulkan situasi huru-hara.
“Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini merupakan perbuatan bodoh, mana boleh kita (rakyat negara) bersetuju mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin.
“Tiada tolak ansur dalam perkara itu,” katanya pada majlis Sesi Ramah Mesra bersama Tengku Razaleigh Hamzah di sebuah hotel di sini hari ini.
Media melaporkan baru-baru ini, Guan Eng mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Dalam pada itu, Shahidan yang ditemui hari ini kelihatan sihat walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda kerana penyakit gangguan saraf yang dialaminya.
“Saya akan sihat sepenuhnya dan akan berdiri dengan baik pada majlis mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat di Parlimen, 16 Julai nanti,” katanya. – K! ONLINE











