ALOR SETAR – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berpendapat UMNO perlu segera melakukan bedah siasat kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada bulan lalu.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau difahamkan UMNO sehingga kini masih belum melakukan bedah siasat PRU-14 secara rasmi.
Menurutnya, ahli-ahli UMNO ingin mengetahui punca sebenar kekalahan parti keramat itu pada pilihan raya tersebut.
“Kita nak tahu pasal apa kita (UMNO) kalah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan ramah mesra bersama Tengku Razaleigh di sebuah hotel di sini petang tadi.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Tengku Razaleigh berkata, ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat diminta supaya bermunasabah selepas parti itu ditolak rakyat pada PRU-14 lalu.
“Kita mungkin selama ini banyak melakukan kesilapan sehingga ditolak rakyat.
“Sebab itu kita jangan angkuh dan segera perbaiki setiap kelemahan dan kesilapan kita,” katanya. – K! ONLINE











