KOTA BHARU – Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu beliau akan menerajui parti itu hanya untuk tempoh sepenggal sahaja sekiranya dipilih menjadi Presiden UMNO.
Tengku Razaleigh berkata, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengangkat kembali martabat parti tersebut yang kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Kita akan cuba barangkali kalau berjaya kita akan tengok. Kalau tiada sambutan agak susah tetapi kita akan cuba dalam tempoh tiga tahun ini.
“Jika sambutan baik dalam tempoh itu dan mengikut rancangan barangkali imej UMNO boleh dipulihkan. Saya hanya mahu tawar diri (sebagai Presiden UMNO) tiga tahun saja selepas itu akan beri peluang kepada orang muda pula,” katanya.
Beliau yang mesra dipanggil Ku Li berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi ramah mesra bersama ahli UMNO negeri ini di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, UMNO berdepan cabaran untuk memulihkan imejnya dan itu merupakan satu teras perjuangan.
“Kita kena pulihkan diri kita sebab rakyat mengatakan kita sombong, susah dihubungi dan jauh daripada orang ramai.
“UMNO dikatakan jauh daripada orang ramai dan berpisah dengan golongan marhain. Inilah bayangan yang disuarakan sesetengah pihak,” ujarnya. – K! ONLINE










