KPDNKK Sabah terima 42 aduan pencatutan harga pasca GST - Utusan Malaysia

KPDNKK Sabah terima 42 aduan pencatutan harga pasca GST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Sebanyak 42 aduan pencatutan harga diterima sejak kerajaan melaksanakan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bermula pada 1 Jun lalu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong berkata, kesemua aduan tersebut melibatkan kegagalan para peniaga menurunkan harga perkhidmatan dan barangan di premis mereka.

Menurut Stephen, kebanyakan aduan melibatkan harga di pasar raya, peruncitan dan perkhidmatan tempat letak kereta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak lima hari lalu kita telah menerima 42 aduan perbezaan harga selepas GST dimansuhkan bermula awal Jun lalu.

“Aduan ini melibatkan kegagalan peniaga menurunkan harga di premis mereka. Kita harap peniaga akan mematuhi usaha kerajaan menurunkan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Operasi Catut 4.0 di Kompleks Karamunsing di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, V. Ravichandran.

Hadir sama, Penolong Kanan Pengarah Kastam Sabah, Purna Limbu dan Penolong Pengarah Kastam Sabah, Venitha Lojuti.

Sementara itu, 29 amaran telah dikeluarkan termasuk dua notis terhadap peniaga yang gagal memansuhkan GST di premis masing-masing di negeri ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini