PYONGYANG, Korea Utara – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memberitahu Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bahawa beliau komited berhubung perlucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea, lapor agensi berita rasmi, KCNA semalam.
“Jong-un berkata bahawa tekad Korea Utara kepada perlucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea masih tidak berubah, konsisten dan teguh,” lapor KCNA selepas kedua-dua pemimpin itu bertemu di Pyongyang kelmarin.
Pada pertemuan tersebut, Jong-un menyatakan harapan agar isu hubungan Korea Utara-Amerika Syarikat (AS) dan perlucutan senjata nuklear ‘akan selesai secara berperingkat dan ‘beliau berharap supaya penyelesaian isu tersebut akan mencapai kemajuan menerusi dialog yang efektif dan konstruktif, kata agensi berita tersebut.
Lawatan Lavrov dibuat ketika Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan pegawai tinggi Korea Utara mengadakan perbincangan rasmi mengenai sidang kemuncak bersejarah antara Jong-un dan Presiden Donald Trump di Singapura.
Tugas utama menjelang persidangan pada 12 Jun ini adalah menyelesaikan agenda tersebut. Halangan utama kepada penyelesaian isu tersebut merupakan interpretasi berbeza terhadap konsep ‘perlucutan senjata nuklear’ oleh kedua-dua belah pihak.
Washington mahu Korea Utara bertindak segera dengan menyerahkan semua senjata nuklearnya sebagai pertukaran untuk membebaskan Pyongyang daripada sekatan ekonomi dan mendapatkan bantuan kewangan.
Namun, penganalisis berkata, Korea Utara tidak akan bersetuju dengan syarat AS itu melainkan Pyongyang mendapat jaminan bahawa AS tidak akan menjatuhkan rejim Jong-un. – AFP











