KUALA LUMPUR 1 Jun – Dalam usaha untuk berjimat, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil pendekatan membatalkan latihan melibatkan atlet pecut ke Eropah, sebaliknya membawa jurulatih terbaik acara riben biru, Dwayne I. Miller ke Malaysia.
Langkah tersebut diputuskan KOM selepas berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mesyuarat yang berlangsung hari ini.
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, pihaknya akan berbincang dengan jurulatih dari Amerika Syarikat (AS) itu untuk membawanya ke Malaysia bagi memastikan persiapan atlet pecut negara menghadapi Sukan Asia 2018 berjalan lancar.
“Dalam masa terdekat ini saya akan hubungi dia (Miller) kerana kita mahu membawanya ke Malaysia secepat mungkin.
“Bagi kami keputusan ini dilihat amat menguntungkan kerana jika tidak hanya beberapa atlet yang akan dibenarkan berlatih di Eropah tetapi kini hampir kebanyakan atlet pecut mampu berlatih bersama.
“Menerusi keputusan ini banyak kos dapat dijimatkan termasuk tiket penerbangan dan penginapan, dalam masa sama atlet dapat membuat persediaan dengan jurulatih terbaik dari Amerika Syarikat itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar khas di Pejabat KOM, sini, hari ini.
Sebelum ini, KOM bercadang menghantar atlet 4×100 meter iaitu Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy selain Zaidatul Husniah.
Mereka akan berlatih bersama Miller di Eropah dengan enam siri latihan dan pertandingan dalam masa 60 hari.
Antara cadangan latihan dan pertandingan di Eropah adalah Paavo Nurmi Games – 100m & 200m (6 Jun), Motonet GP Espoo (13 Jun), Saarijavi 100m (24 Jun), Motonet GP Joensuu (4 Julai) dan Lahti Star Comps (7 Julai). – UTUSAN ONLINE










