Khazanah hutan tanah pamah Shah Alam bakal lenyap - Utusan Malaysia

Khazanah hutan tanah pamah Shah Alam bakal lenyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 27 Jun – Kerajaan Selangor dituntut supaya mengenakan sekatan terhadap syarikat pemaju yang didakwa menjalankan kerja-kerja penerokaan tanah yang dikhuatiri bakal melenyapkan khazanah warisan alam negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tuntutan itu ditegaskan wa­kil Persatuan Penduduk Bukit Bayu, Seksyen U10 di sini, Fahri Zaini, 40, setelah pihaknya mendapati kerja-kerja pene­rokaan itu telah melibatkan sebahagian kawasan hutan simpan Bukit Cerakah yang dianggarkan ber­keluasan 546 hektar.

Menurutnya, aktiviti seum­pama itu bukan sahaja mencetuskan rasa bimbang para penduduk kerana ia bukan sahaja menyebabkan haiwan liar memasuki kawasan perumahan mereka, tetapi turut menyaksikan satu-satunya kawasan hutan tanah pamah di Shah Alam akan musnah.

“Kita mengesan aktiviti pe­nerokaan tanah itu pada minggu pertama bulan Ramadan lalu selepas pihak pemaju terbabit menutup laluan masuk ke kawasan hutan berkenaan. Kemudiannya kita dapati kerja-kerja pene­rokaan itu diteruskan sehingga minggu ketiga Ramadan.

“Bagaimanapun, penduduk terkejut apabila pihak yang terlibat meneroka kawasan hutan itu melakukan kerja-kerja letupan batuan kira-kira 100 meter daripada kawasan perumahan mereka pada hari raya ketiga iaitu pada 17 Jun lalu yang dibimbangi akan menyebabkan masalah hakisan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Fahri, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai perkara itu pada 18 Jun lalu termasuklah mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Perhutanan Selangor pada hari yang sama.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), I. S. Shanmugaraj berkata, pihaknya mendapati kawasan hutan tanah pamah di Bukit Bayu itu bersambung dengan kawasan hutan simpan kekal Taman Botani Negara yang mana ia perlu dilindungi daripada sebarang aktiviti pembangunan.

Ini kerana, kawasan hutan simpan itu didapati kaya dengan sumber alam meliputi tumbuh-tumbuhan serta pelbagai spesis fauna termasuklah tapir yang antara haiwan liar berhadapan dengan ancaman kepupusan ketika ini.

“Justeru itu, sudah sampai masanya kerajaan negeri segera mewartakan hutan tanah pamah berhampiran kawasan Bukit Bayu ini sebagai hutan simpan kekal untuk generasi akan da­tang dan bebas daripada sebarang aktiviti penerokaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi yang mengha­diri perjumpaan para penduduk Bukit Bayu menegaskan, buat masa ini beliau masih belum mengenal pasti pihak yang terlibat menjalankan aktiviti pene­rokaan tanah hutan tersebut.

Bagaimanapun, memberi jaminan akan meneliti lebih lanjut mengenai perkara itu dari sudut undang-undang termasuklah me­­mohon kerajaan negeri supaya memastikan kawasan hutan ter­sebut diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini