Khaled bertanding Naib Presiden - Utusan Malaysia

Khaled bertanding Naib Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 4 Jun – Bukan demi kedudukan dan kuasa, tetapi mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa masih terdapat pemimpin UMNO yang berpegang dengan prinsip perjuangan parti iaitu berkhidmat demi agama, bangsa dan negara, bukannya kepentingan peribadi.

MOHAMED KHALED NORDIN
MOHAMED KHALED NORDIN

Atas sebab itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, 30 Jun ini.

Beliau berkata, penawaran itu dilakukan dalam keadaan UMNO berada pada paras paling rendah selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selain sebagai perjuangan bagi memastikan parti itu kembali disokong orang Melayu dan rakyat negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berharap supaya perwakilan dapat menilai kekuatan, kemampuan dan semangat yang dapat diberikan setiap calon kerana semuanya ada kelebihan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, penawaran itu juga memberikan alternatif kepada ahli UMNO untuk membuat pilihan dan pada masa sama mahu memastikan amalan demokrasi di negara ini berjalan dengan baik.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor memberitahu mempunyai cadangan untuk memulihkan dan membangunkan semula UMNO serta akan berkongsi idea tersebut sebelum pemilihan selain menjelajah ke negeri lain bagi memberi pandangan di samping menggunakan pendekatan baharu.

“Semua orang kata UMNO perlu berubah, tetapi tiada siapa yang menjelaskan bagaimana perubahan itu perlu dibuat. Mungkin belum ada yang mahu berkongsikan idea tetapi sebelum bertanding, saya akan kongsikan pandangan saya.

“Dan saya percaya penawaran ini akan memberi peluang kepada ahli parti untuk berfikir secara mendalam supaya memilih yang terbaik dan yang dirasakan mampu menyumbang kepada kebangkitan semula UMNO,” tegasnya.

Selain Mohamed Khaled, turut menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini