SEBERANG PERAI – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan tetap menjadi singa UMNO dalam sesi Dewan Rakyat biarpun tidak diberi peluang dalam jawatan tersebut pada pemilihan parti itu Sabtu ini.
Khairy dalam ucapannya pada Program Ramah Mesra yang diadakan di Seberang Perai di sini malam tadi berkata, beliau masih mempunyai tenaga untuk mengembalikan semula perjuangan UMNO bersama lebih 3 juta ahli parti.
“Kalau ditadkirkan bukan rezeki saya untuk jawatan Presiden, izinkan saya jadi singa UMNO dalam Parlimen untuk lawan Pakatan Harapan (PH).
“Jangan ingat usia saya terlalu muda, umur 42 tahun. Itu usia angka sahaja. Yang penting, saya hendak bawa perubahan dan rakyat juga mahu lihat perubahan itu,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dan Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Omar Faudzar.
Dalam perkembangan sama, Khairi turut mengatakan beliau tidak akan sesekali berundur sekiranya tewas dalam pemilihan Presiden UMNO Sabtu ini.
“Ada yang kata kalau saya kalah, saya akan keluar UMNO dan ada juga yang kata saya masuk bertanding Presiden hanya untuk pecah undi.
“Tiada rundingan untuk pecah undi tuan-tuan. Kalau saya lompat parti, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) akan tampar saya,” selorohnya. – K! ONLINE










