Sikap tuduh-menuduh dan memperlekehkan sesama pemimpin demi mengejar jawatan sama ada di peringkat Bahagian mahupun Majlis Tertinggi UMNO Malaysia hanya menempah kerugian untuk parti itu sendiri.
Menurut Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Azhari Shaari, beliau sentiasa meletakkan kepercayaan kepada ahli-ahli UMNO Shah Alam untuk menilai segala Indeks Prestasi Utama (KPI) beliau dalam mengemudi perjuangan parti selama ini.
Azhari berkata, beliau sudah melakukan yang terbaik untuk parti setelah pucuk pimpinan inginkan kepimpinan di peringkat Bahagian diremajakan dan beliau dan barisan exco merealisasikan impian tersebut.
Azhari menjelaskan, sejak 2013 beliau telah memimpin UMNO Bahagian Shah Alam dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) untuk membawa kemajuan ke bandaraya ini. Kemajuan yang dimaksudkan bukan setakat manis di mulut tetapi dijelmakan secara fizikal.
Sejarah tidak pernah menipu dan beliau adalah kepimpinan yang cakap serupa bikin dan bukannya gemar beretorik di media sosial.
Azhari dengan bergaya menegaskan, kejayaan beliau memimpin BN Parlimen Shah Alam untuk menutup dua tol iaitu Batu Tiga dan Sungai Rasau dan membawa projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3 bukan persepsi tetap realiti.
Malahan, Hospital Shah Alam yang tersergam indah di Seksyen 7 telah beliau usahakan untuk disiapkan dengan segera setelah lama terbengkalai.
Realiti yang menggigit ahli-ahli UMNO hari ini ialah, pengundi tetap menyokong calon parti lawan dan meminggirkan pemimpin UMNO hingga kalah teruk di beberapa negeri termasuk Selangor.
Kata Azhari, jika penolakan terhadap beliau untuk terus memimpin UMNO Bahagian Shah Alam dan menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia bersandarkan penolakan akibat sentimen nasional baginya itu tidak adil kepada segala butiran Buku Laporan prestasi dirinya sebagai pemimpin UMNO Bahagian yang penuh dengan warna biru.
Sementara itu Calon Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Muhd. Ali Zakariah berkata, beliau menawarkan diri untuk memimpin UMNO Bahagian Kota Raja adalah atas dasar perjuangan untuk membela orang Melayu di bandar yang masih memerlukan pembelaan dari aspek prasarana dan perumahan. Bukan sekadar untuk menjadi pemimpin yang hanya pandai berkata-kata tanpa tindakan konkrit.
Muhd. Ali berkata beliau bimbang dengan pandangan ahli-ahli UMNO yang mengundi mengikut emosi kepada seseorang pemimpin dan bukannya prestasi dirinya sebagai pemimpin parti yang aktif di dalam NGO dan di dalam parti di peringkat cawangan.
Pemilihan UMNO Bahagian perlu dibuat dengan telus dan dinilai daripada aktiviti kepimpinan seseorang calon yang menawarkan diri. Pemimpin yang terbukti aktif bekerja untuk rakyat perlu diutamakan bukannya dipandang sebelah mata kerana tidak berpoket tebal.
Harapan Azhari dan Muhd. Ali adalah sama seperti pemimpin UMNO lain yang bertanding kerana mereka di bawah payung yang sama, maka segala kriteria pemilihan perlu adil.
Kepada ahli UMNO yang memilih kepimpinan tertinggi parti dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, pilihlah berdasarkan prestasi pemimpin bukannya persepsi yang merosakkan kestabilan. Rasionallah.-UTUSAN ONLINE










