Kesan negatif terhadap kehidupan individu - Utusan Malaysia

Kesan negatif terhadap kehidupan individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MULA bermain permainan video sejak berumur 13 tahun, seorang pemuda dikenali sebagai Aman sukar untuk meninggalkan tabiat itu walaupun telah meningkat dewasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia bermain permainan video kerana terpengaruh dengan rakannya ketika mengunjungi siber kafe.

“Pada ketika itu, saya ketagih bermain permainan video Counter Strike. Setelah tamat sesi persekolahan, saya akan mengunjungi siber kafe untuk bermain permainan video ini.

“Duit belanja sekolah yang diberikan oleh ibu bapa saya guna untuk bermain permainan video ini,” jelasnya yang kini berumur 25 tahun.

Aman mengakui pernah memberontak agar ayahnya membeli sebuah komputer bagi membolehkannya bermain permainan video.

Bagaimanapun, ayahnya tidak menunaikan kemahuannya itu menyebabkan dia terus mengunjungi siber kafe untuk bermain permainan video walaupun dilarang oleh kedua-dua orang tuanya.

Tabiat bermain permainan videonya itu berterusan sehingga dia melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti awam.

“Masa di universiti juga banyak dihabiskan bermain permainan video kerana saya memiliki komputer riba sendiri.

“Tambahan pula, rakan-rakan di universiti turut mempunyai minat sama,” jelas anak kelahiran Banting, Selangor itu.

Aman mengakui walaupun telah bekerja dia masih meneruskan tabiat bermain permainan video itu dan jika ada waktu lapang dia lebih gemar duduk di rumah untuk menghabiskan masa melakukan aktiviti tersebut berbanding bersosial.

“Ada ketikanya saya tidak tidur semalaman kerana bermain permainan video menyebabkan saya lambat ke tempat kerja keesokan harinya,” jelasnya.

Ketagihan bermain permainan video di negara ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak malahan golongan dewasa dan berkerjaya.

Ia bukan sahaja melanda negara kita, malahan menjadi satu masalah yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia.

Media antarabangsa beberapa tahun lalu melaporkan seorang remaja mati mengejut di sebuah siber kafe di Taiwan akibat kemaruk bermain permainan video selama 40 jam tanpa henti.

Pada Mei lalu terdapat laporan yang mengatakan akibat terpengaruh dan ketagih bermain permainan video ganas, seorang remaja lelaki di Rusia bertindak membunuh seorang wanita kerana mahu merasai sendiri pengalaman membunuh di dunia nyata.

Suspek, Alexey Maximov, 15, menikam seorang wanita, Daria Evdokimova, 21, sebaik sahaja wanita itu selesai mengeluarkan wang daripada mesin teler automatik di Moscow, Rusia. Mangsa mati di tempat kejadian.

Perkembangan dalam bidang teknologi menyaksikan pelbagai jenis permainan video dihasilkan yang boleh dimainkan melalui pelbagai medium seperti konsol, komputer dan telefon pintar.

Kesihatan mental

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan ketagihan permainan video atau gaming disorder sebagai masalah kesihatan mental.

Berdasarkan laman web WHO, gaming disorder ditakrifkan dalam Draf 11 Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11).

ICD adalah asas untuk mengenal pasti trend kesihatan dan statistik di peringkat global dan piawaian antarabangsa bagi melaporkan penyakit dan keadaan kesihatan.

Ia digunakan oleh pengamal perubatan di seluruh dunia untuk mendiagnosis keadaan dan oleh penyelidik untuk mengkategorikan keadaan.

WHO menjelaskan, masalah tersebut didiagnosis berdasarkan corak dan tingkah laku seseorang yang bermain permainan video.

Mereka yang berhadapan dengan masalah berkenaan akan mempunyai ketagihan yang teruk dalam permainan video sehingga memberi kesan negatif terhadap diri sendiri, keluarga, pekerjaan, pendidikan, sosial dan ia harus berlaku sekurang-kurangnya selama 12 bulan.

Masalah itu disenarai dalam ICD-11 berdasarkan tinjauan bukti yang ada dan mencerminkan konsensus pakar daripada pelbagai disiplin serta wilayah geografi yang terlibat dalam proses perundingan teknikal yang dijalankan oleh WHO.

Tidak dapat dinafikan masyarakat dunia terutamanya generasi muda begitu fokus terhadap permainan video ini kerana ia telah diiktiraf sebagai sukan elektronik.

Serius

Sementara itu, Pakar Ketagihan Teknologi di Hospital Nightingale di London, Dr. Richard Graham menyambut baik keputusan yang dibuat oleh WHO untuk memperakui keadaan itu.

“Ini adalah sesuatu yang amat penting bagi membolehkan ketagihan permainan video dipandang sebagai sesuatu yang serius,” jelasnya.

Banyak negara yang bergelut dengan masalah itu dan kerajaan Korea Selatan misalnya telah memperkenalkan undang-undang yang mengharamkan akses permainan video dalam talian untuk tempoh masa tengah malam sehingga pukul 6 pagi terhadap kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Pusat Penyelidikan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, dari sudut psikologi mereka yang mempunyai tingkah laku obsesif terhadap permainan video sehingga ketagihan boleh berhadapan dengan masalah mental.

Jelasnya, obsesif adalah keadaan di mana seseorang itu terlalu memikirkan sesuatu secara berlebihan sehingga membawa kepada kemurungan.

“Jika perkara ini berlaku ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental seseorang.

“Ketagihan dan fokus yang melampau terhadap permainan video juga boleh menyebabkan simptom kehilangan fokus kerja seseorang itu dan prestasi kerjanya menurun. Ia juga mengganggu tanggungjawab terhadap perkara-perkara lain yang lebih penting dalam kehidupannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Suhaimi menjelaskan, jika dilihat dari satu sudut yang lain, permainan video merupakan satu terapi untuk seseorang individu.

“Mungkin bagi sesetengah individu, permainan video ini merupakan satu terapi untuknya mencari kegembiraan. Sebagai contoh mereka yang bermain permainan video dan berjaya menang mampu memberi kegembiraan dan kepuasan kepada diri.

“Bagaimanapun, ia akan menjadi satu masalah yang serius jika seseorang itu terlalu ketagih sehingga menghabiskan masa yang begitu banyak hanya untuk bermain permainan video,” katanya.

Tambahnya, perkara sedemikian juga mampu memberi kesan buruk kepada keluarga terutamanya bagi mereka yang sudah dewasa dan berkeluarga.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan ketagihan permainan video atau gaming disorder sebagai masalah kesihatan mental.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN