PASIR SALAK 31 Mei – Kepemimpinan dan ahli UMNO diharap menyokong usaha untuk menggabungkan kekuatan UMNO dan Pas bagi membentuk kerjasama untuk memberikan cabaran hebat kepada kerajaan Pakatan Harapan dalam mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan Islam.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO perlu berubah dari segi strategi berpolitik dengan mencari rakan yang selari perjuangannya dalam membentuk kerjasama itu tanpa perlu bergabung.
Menurutnya, sebaliknya cukup dengan bersatu hati dan semangat biarpun mempunyai cara politik yang berbeza serta berlainan parti.
Katanya, ruang kerjasama itu boleh dijalinkan tanpa perlu menunggu tempoh masa lama setelah melihat perkiraan bilangan kerusi yang dimiliki oleh UMNO dan Pas di peringkat negeri serta Pusat.
“Saya rasa orang UMNO hari ini sedia untuk bekerjasama dengan Pas. Saya rasa, saya boleh katakan begitu. Orang Pas tidak perlu masuk UMNO dan orang UMNO tidak perlu masuk Pas.
“Atas keinsafan ini, saya harap Pas menyedari perkara ini di mana perlunya kita bergabung, bersatu pemikiran, tenaga dan satu perjuangan. Jika kita antara UMNO dan Pas ini masih hendak menunjukkan kehebatan masing-masing, kita tidak berupaya menghadapi tentangan daripada pihak lawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak yang berakhir tengah malam semalam di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai dekat sini.
Sementara itu, Tajuddin berkata, hampir tiga minggu mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan telah menunjukkan hala tuju kepemimpinan yang merugikan serta mengancam survival orang Melayu dan Islam melalui keputusan dan tuntutan tertentu.
Menurutnya, biarpun Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri, pengaruh DAP dilihat begitu hebat dalam Pakatan Harapan sehingga meletakkan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang merupakan satu jawatan penting dalam menjaga khazanah negara.
“Kita lihat apa yang dilaporkan, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan telah memperkecilkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
“Ura-ura untuk memotong peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta membuang (pekerjaan) pekerja dengan begitu ramai dengan alasan dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan tetapi kesannya kepada orang Melayu kerana yang banyak dibuang itu ialah orang Melayu,” katanya.









