Kereta mewah RM1.2 juta terbabas, terbalik dalam longkang - Utusan Malaysia

Kereta mewah RM1.2 juta terbabas, terbalik dalam longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Sebuah kereta mewah jenis BMW i8 bernilai kira-kira RM1.2 juta rosak teruk selepas terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Kilometer 69, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, seorang pemandu berusia 34 tahun dan seorang lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kereta milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang. 

Katanya, sebaik tiba di lokasi kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor binatang yang melintas.

“Ketika kejadian hujan turun renyai-renyai menyebabkan jalan licin sehingga pemandu tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbabas ke dalam longkang.

“Kita menerima laporan kejadian kemalangan itu daripada seorang pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Taufik, pemandu kenderaan berkenaan telah membuat laporan mengenai  kejadian kemalangan itu.

Katanya, kenderaan mewah tersebut yang mengalami kerosakan pada cermin hadapan dan beberapa bahagian lain juga masih disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN