LONDON 25 Jun – Sebuah kereta sport, Aston Martin yang pernah dipandu aktor Sean Connery dalam siri filem James Bond, Goldfinger ditemukan lebih 20 tahun selepas ia dicuri.
Ketua Eksekutif Art Recovery International, Christopher Marinello berkata, kereta legenda DB5 buatan 1964 itu ditemukan di Asia Barat minggu lalu dan menurut maklumat yang diberikan kepada pasukan penyiasat, kenderaan terbabit diburu pihak berkuasa sejak beberapa dekad.
Kenderaan yang dilengkapi dengan mesingan dan pisau penebuk tayar untuk ejen 007 itu kini mungkin bernilai 10 juta pound (RM53 juta).
Bagaimanapun, penyiasat daripada Art Recovery International, syarikat insurans yang menemukan kereta itu enggan mendedahkan negara sebenar kereta itu ditemukan.
“Saya telah diberikan maklumat khusus dan kami sedang berusaha ke arah itu.
“Kami mahu berjumpa dengan komuniti pengumpul kereta dan mekanik untuk memaklumkan bahawa kami amat serius untuk mendapatkannya,” kata Marinello.
Marinello menambah, oleh kerana terdapat banyak model Aston Martin, adalah penting bagi mereka untuk mendapatkan nombor casis kereta tersebut, dp/216/1.
“Inilah yang kami cari kerana ia sangat spesifik untuk kenderaan itu,” kata Marinello.
Kereta sports Aston Martin itu dicuri pada 1997, kira-kira 33 tahun selepas filem itu ditayangkan.
Pemilik membeli kereta itu pada 1986 pada harga 250,000 pound atau bersamaan nilai semasa 188,000 pound (RM997,136) dan menyimpannya di hangar lapangan terbang miliknya di Boca Raton, Florida.











