KUALA LUMPUR – Berikutan peningkatan kos sebanyak 1.35 sen/kWj, kerajaan memutuskan supaya kos tersebut dilepaskan dalam bentuk surcaj ‘kos tak berimbang’ (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai, 2018 hingga 31 Disember 2018.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan turut menetapkan surcaj ICPT tersebut dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh yang sama.
“Pelarasan ICPT ini tidak melibatkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 300 kWj.
“Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 300 kWj, mereka akan mengalami penurunan atau kenaikan yang minimum dalam bil elektrik iaitu dianggarkan antara RM0.09 dan RM4.89 sebulan, dengan mengambil kira pelaksanaan kadar 0 peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 1 Jun 2018,” katanya.
Menurut ST, ia berikutan persetujuan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan kerangka kerja kawal selia berasaskan Insentif bagi penetapan dan pelarasan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh kawal selia tiga tahun yang kedua bermula pada 2018 hingga 2020. – Bernama







