IPOH – Kerajaan negeri Perak akan mengumumkan mekanisme pemberian air secara percuma kepada golongan sasar seperti yang dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu seawal-awalnya pada minggu hadapan.
Menteri Besarnya, Ahmad Faizal Azumu berkata, perbincangan bersama Lembaga Air Perak (LAP) telah dilakukan dan pihaknya akan mengumumkan khabar gembira tersebut kepada rakyat Perak selepas meneliti semua aspek mengenainya.
“Kerajaan negeri melihat kadar tarif air di negeri ini tidak dapat diturunkan, namun kita akan memberi diskaun kepada semua pengguna domestik selain pemberian air percuma kepada golongan sasar.
“Kita sedang meneliti senarai nama dan akaun golongan sasar tersebut dan terdapat peningkatan jumlah penerima pemberian air percuma ini kerana kerajaan ingin membantu lebih ramai rakyat Perak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Lembaga Air Perak di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut yang dihadiri lebih 1,000 kakitangan LAP dan keluarga itu, LAP turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada 30 pelajar institusi pengajian tinggi yang menetap di Perak.
Katanya, pengumuman pemberian air secara percuma dan pemberian diskaun bil air tersebut akan diumumkan pada minggu hadapan.
Mengulas mengenai tajaan LAP kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Ahmad Faizal yang juga Pengerusi LAP berkata, pihaknya akan membawa masuk syarikat-syarikat swasta dan korporat bagi tujuan penajaan sukan tersebut.
“Kita akan mengurangkan penajaan LAP kepada Pafa namun kita akan membawa syarikat swasta dan korporat agar meraka dapat menaja pasukan Perak dan Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC),” katanya. – K! ONLINE











