Kerajaan negeri nafi terima projek Bandaraya Baharu Langkawi - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri nafi terima projek Bandaraya Baharu Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 1 Jun – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya pernah menerima cadangan pembangunan Projek Bandaraya Baharu Langkawi yang bernilai kira-kira RM30 bilion oleh pemaju hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing.

MUKHRIZ MAHATHIR
MUKHRIZ

Justeru katanya, beliau sendiri hairan bagaimana projek tersebut boleh diumumkan ketika kerajaan negeri dipimpinnya tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Pengumuman itu menghairankan kerana projek berkenaan tidak dicadang, dibincang, dipertimbang, apatah lagi diluluskan oleh kerajaan negeri pimpinan saya.

“Memang projek tersebut pernah dicadangkan ketika saya menjadi Menteri Besar di bawah Barisan Nasional (BN) dulu. Tetapi projek melibatkan pembangunan tanah tambak laut bagi membina hartanah untuk dijual kepada pembeli tempatan dan asing itu tidak disusuli dengan bayaran deposit yang menepati syarat kerajaan negeri bagi projek mega berskala besar seperti dinyatakannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menerusi satu taklimat kepada media semalam, usahawan kelahiran Sarawak itu mengumumkan bahawa projek ala pembangunan di Dubai itu akan dilancarkan hari ini, merangkumi pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersil dan dermaga kapal di kawasan seluas 81 hektar tanah yang ditebus guna di barat Pulau Langkawi.

Pengumuman itu dilihat sebagai kemunculan semula Pek Khiing yang pernah terlibat dengan projek pembinaan Plaza Rakyat di Pudu dan Empangan Bakun di Sarawak setelah 16 tahun beliau berdiam diri.

Mukhriz menambah, ekoran daripada itu kerajaan negeri berpendapat cadangan asal tersebut tidak lagi dipertimbangkan dengan sebarang cadangan pembangunan baharu perlulah dikemukakan secara rasmi untuk pertimbangan kerajaan negeri.

“Setakat ini Pek Khiing belum mengemukakan kepada kerajaan negeri cadangan baharu bagi projek pembangunan mega yang beliau umumkan itu,” katanya.

Sementara itu katanya, pentadbirannya tidak berhasrat menyulitkan sebarang inisiatif untuk melabur atau membangunkan negeri ini dengan kerjasama penuh serta panduan dan nasihat sentiasa ditawarkan sekiranya perlu untuk menjayakan usaha sedemikian.

“Namun kerajaan negeri berpendirian tegas terhadap pematuhan syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan. Apa juga projek yang dicadangkan oleh mana-mana pihak perlu melalui proses saringan untuk mengenalpasti impak sosial, alam sekitar dan ekonomi.

“Walaupun kerajaan negeri amat mesra perniagaan dan pelaburan, namun ketiga-tiga aspek itu tidak akan dikompromi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN