KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggabungkan dua entiti media di bawah kawalannya, iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai langkah menjimatkan kos.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam wawancara bersama The Malaysian Reserve berkata, penjimatan tersebut seterusnya akan diterjemahkan kepada dana yang lebih untuk menghasilkan kandungan bersifat moden dan inovatif.
“Sekiranya penggabungan berlaku, kandungan berita mungkin boleh diperolehi daripada Bernama jadi kita boleh mengurangkan kos di RTM, bermakna kita memiliki dana yang lebih untuk menghasilkan kandungan,”katanya.
Menurut Gobind, cadangan pengabungan berkenaan sedang dikaji oleh pihak berkecuali dan keputusan mengenainya hanya akan dibuat berdasarkan laporan.
Gobind sebelum ini memberikan tempoh enam bulan kepada RTM untuk menonjolkan wajah baharu dan lebih agresif sebagai usaha menarik lebih ramai penonton.
Tempoh tersebut berakhir Disember ini. – K! ONLINE











