Kerajaan Johor nafi bertindak kejam tamatkan perkhidmatan ketua kampung - Utusan Malaysia

Kerajaan Johor nafi bertindak kejam tamatkan perkhidmatan ketua kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor menafikan bertindak kejam terhadap ketua-ketua kampung yang ditamatkan perkhidmatan, sebaliknya menjelaskan ia merupakan salah satu langkah penstrukturan semula pentadbiran di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kesemua mereka yang berkelayakan dan berkebolehan boleh memohon bagi lantikan semula sekiranya memenuhi kriteria.

“Kita juga terbuka dan pegawai daerah sendiri akan menemu duga mereka bersama panel-panel yang lain dan bukannya saya.

“Kita tengok kalau benda baik, orang baik, buat apa kita bazirkan. Dia boleh mohon dan kita boleh ambil, kalau dia kata dia tidak layak, maknanya dia tahu diri dia,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan di Masjid As Solehin, Kempas di sini hari ini.

Osman berkata, walaupun kesemua mereka ditamatkan perkhidmatan, pemberian elaun sebanyak RM1,000 akan tetap diteruskan sehingga lantikan ketua kampung yang baharu.

“Jadi, tiada isu menyatakan soal kekejaman berlaku oleh kerajaan yang ada ini. Janganlah menuduh sebarangan untuk menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas mengulas mengenai kenyataan yang mendakwa kerajaan negeri bertindak kejam dengan menamatkan kontrak 1,700 ketua kampung di negeri ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN