KUALA LUMPUR 13 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan mesti berpegang teguh kepada integriti dengan mematuhi piawaian antarabangsa dan tidak melibatkan sentimen politik ketika membuat laporan kewangan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Moody’s Investors Service (Moody’s) secara bebas telah menilai dakwaan kerajaan Pakatan Harapan bahawa hutang negara mencecah RM1 trilion dan 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, agensi penarafan antarabangsa itu mendapati dakwaan kerajaan baharu itu tidak benar dan telah mengekalkan nisbah hutang negara pada kadar 50.8 peratus sepertimana diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Anda boleh mengelirukan rakyat tetapi tidak boleh berbuat demikian dengan pakar.
“Mengetahui betapa pentingnya angka tersebut dan kesannya terhadap ekonomi, kami sentiasa telus ketika mendedahkan dan mematuhi pelaporan piawaian antarabangsa yang ketat,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Mengulas lanjut, Najib berkata, dakwaan 80.3 peratus daripada KDNK oleh kerajaan Pakatan Harapan dilihat masih lebih rendah berbanding 103.4 peratus yang dicapai pada pertengahan 1980-an, iaitu nisbah yang kekal melebihi 70 peratus untuk tempoh masa agak lama semasa penggal pertama Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
“Malaysia tidak men- jadi bankrap pada ketika itu, jadi tiada logik untuk mengatakan Malaysia menjadi bankrap pada kadar 50.8 peratus atau 80.3 peratus daripada KDNK terutamanya apabila 97 peratus daripada hutang negara dalam mata wang ringgit.
“Kerajaan Pakatan Harapan mesti berpegang teguh kepada integriti dengan mematuhi piawaian antarabangsa dan tidak melibatkan sentimen politik ketika membuat laporan kewangan,” katanya.
Katanya, sepanjang bulan lalu, kisah hutang negara RM1 trilion itu telah menyebabkan aliran keluar dana asing yang besar daripada pasaran bon negara dan jualan asing bersih dalam pasaran saham selama 25 hari berturut-turut.
“Situasi ini hanya boleh menyebabkan kerugian kepada pelabur runcit dan dana dividen negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional (ASN) atau Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya.










