SHAH ALAM – Keputusan sama ada skuad the Red Giants akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam akan diketahui awal bulan depan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata beliau sangat optimis impian penyokong pasukan bola sepak Selangor itu akan menjadi kenyataan selepas mengadakan beberapa pertemuan dengan bakal Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan wakil baginda.
“Saya rasa menjelang Julai kita boleh umumkan beberapa perkara berkenaan FAS, kerajaan negeri dan bola sepak kerana ketika ini saya sedang menunggu beberapa perkembangan.
“Saya sangat optimis awal Julai (pengumuman untuk bermain di Stadium Shah Alam) jika tiada perkara sangat besar berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Raikan Lebaran 2018 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Amirudin juga tidak menolak kemungkinan Selangor dan PKNS FC bakal berkongsi Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah dalam saingan Liga Super namun ia bergantung kepada keadaan dan kualiti padang. – Bernama











