KUALA LUMPUR – Senarai penuh calon yang sah dan layak bertanding bagi merebut pelbagai jawatan pada pemilihan UMNO bagi penggal baharu 2018-2021 hanya akan diketahui pada Rabu ini.
Ketua Setiausaha Bahagian UMNO, Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Datuk Norazuwan Aziz berkata, kelewatan dalam memutuskan calon yang benar-benar layak untuk bertanding adalah disebabkan proses penyaringan yang memakan masa.
“Senarai tersebut akan dikeluarkan selepas semua calon disaring mengikut syarat kelayakan yang digariskan dalam perlembagaan parti serta Jabatan Insolvensi.
“Antara yang perlu dilepasi oleh calon bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) adalah mereka pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian dengan sekurang-kurangnya sepenggal atau tiga tahun.
“Proses tersebut masih tidak selesai lagi dan memakan masa sedikit disebabkan melibatkan jumlah yang besar iaitu kira-kira 25,000 calon termasuk mereka yang ingin bertanding di peringkat bahagian,” katanya ketika ditemui selepas proses cabutan nombor calon bagi pemilihan UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Tambahnya lagi proses cabutan nombor calon itu masih dilakukan juga walaupun tidak mengetahui senarai penuh calon yang layak kerana jika ditangguhkan dikhuatiri tidak cukup masa sehingga 30 Jun ini. – K! ONLINE










