NAIROBI – Golongan pegawai tertinggi kerajaan akan diwajibkan menjalani ujian poligraf sebagai salah satu langkah bagi membendung gejala rasuah.
Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta berkata, alat pengesan penipuan itu dapat mengenal pasti integriti seseorang kakitangan sama ada mereka terlibat dalam penyelewengan atau salah guna kuasa.
“Sebagai langkah awal, kesemua ketua bahagian perolehan dan akaun di kementerian, jabatan dan agensi akan menjalani pemeriksaan baharu termasuk ujian poligraf bagi menentukan integriti mereka.
“Bagi yang gagal dalam ujian, mereka akan digantung tugas,” katanya.
Media baru-baru ini melaporkan Pengarah Perkhidmatan Belia Negara (NYS), Richard Ndubai ditangkap selepas didakwa menyelewengkan dana agensi itu sebanyak AS$78 juta (RM310 juta).
Turut ditangkap dalam skandal terbesar Kenya itu ialah kira-kira 40 kakitangan awam yang lain. Mereka didakwa menyeleweng dana agensi belia itu dengan mengeluarkan invois palsu kononnya untuk pelbagai bayaran.
“Kita perlu menghapuskan rasuah dalam negara sebelum benar-benar memusnahkan kita dan masa depan anak-anak kita,” kata Kenyatta. – Agensi









