KUALA LUMPUR 28 Jun – Pelantun lagu Misteri, Ernie Zakri, 26, mempersoalkan tindakan segelintir individu yang sering mengeja atau menyebut namanya dengan salah walaupun sudah berkali-kali diperbetulkan.
Ernie atau pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia kerap kali berhadapan dengan orang yang membuat kesalahan tersebut dan musykil punca yang mendorong mereka melakukan kesilapan sama.
“Nama saya sering dieja seperti Erni, Erniey atau Eryn. Saya pun tidak pasti kenapa mereka keliru nak eja nama saya dengan betul.
“Saya bukannya marah. Akan tetapi, kadang-kala apabila saya bermesej dengan pihak tertentu, saya akan taip sendiri ejaan nama saya.
“Jadi, janganlah typo (salah eja) lagi,” katanya menerusi entri yang dimuat naik di media sosialnya hari ini.
Bukan itu sahaja, menurut Ernie, ejaan nama bapanya juga acap kali mengalami nasib serupa.
“Ejaan yang betul ialah Zakri, bukannya Zakry. Itu sahaja yang hendak saya maklumkan,” tambahnya dan berharap tidak lagi berulang kesilapan sama.
Malah, pemenang trofi Vokal Terbaik AJL 32 itu menjelaskan, ada juga yang berpendapat nama Ernie Zakri itu adalah nama komersial yang direka sendiri.
“Kasihan ibu bapa saya yang memberikan nama itu kepada saya, bukannya nama buat-buat. Nama sebenar saya yang tercatat dalam kad pengenalan (IC) ialah Nur Ernie Shahirah Binti Zakri,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE











