PUTRAJAYA – Siasatan baharu mungkin dijalankan ke atas kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 12 tahun lalu.
Bapanya, Dr. Shaariibuu Setev yang kini berada di Malaysia bagi mengetahui siapa yang mengarahkan pembunuhan itu dan motifnya telah bertemu dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dan dijangka mengunjungi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad esok.
Peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh berkata, petunjuk baharu dibangkitkan pada pertemuan antara Shaariibuu dan Thomas di Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini.
Bercakap kepada pemberita di lobi AGC selepas pertemuan itu, Ramkarpal Singh berkata, ada peluang cerah untuk kes tersebut dibuka semula.
“Tidak ada keputusan akhir pada peringkat ini namun ada isyarat yang siasatan lanjut akan dijalankan. Itu dalam perancangan dalam masa terdekat. Saya tidak boleh letak rangka masa. Kami tidak bincang tentang rangka masa. Ia tidak akan ditetapkan kerana isu tersebut merupakan perkara yang tertangguh sejak sekian lama,” katanya. – Bernama










