KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh membuat sumbangan secara E- wallet terus ke dalam akaun Masjid Al-Falah, Subang Jaya sempena Kempen SyuQR RHB menerusi aplikasi Boost yang dikendalikan oleh Axiata Digital.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd., Datuk Adissadikin Ali, kerjasama pertama antara RHB Islamic dengan Axiata Digital itu bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai individu membuat sumbangan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik sempena kempen tersebut
“Sumbangan boleh dibuat dengan mudah iaitu melalui imbasan kod respons pantas (kod QR) yang dipaparkan di Masjd Al-Falah dan kutipan itu akan dimasukkan terus ke akaun bank masjid berkenaan tanpa mempunyai risiko dicuri atau hilang.
“Kami yakin usaha ini akan menjadi contoh terbaik untuk menggalakkan lagi penggunaan bayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuk syarikat-syarikat lain,” katanya.
Adissadikin memberitahu, usaha itu juga turut membantu membudayakan usaha bayaran secara digital selari dengan matlamat untuk mencapai negara tanpa tunai menjelang tahun 2050.
Tambahnya, aplikasi yang telah dilancarkan sejak Januari 2017 itu merupakan salah satu cara syarikat telekomunikasi untuk mendigitalkan penggunaan tambah nilai kredit parabayar mereka.
“Menerusi Boost, pengguna juga boleh menambah wang ke adalam akaun aplikasi mereka melalui pembayaran kad kredit, kad debit atau menerusi 17 rakan kongsi perbankan daam talian kami.
“Lebih menarik, pengguna aplikasi ini juga boleh membayar secara E- wallet menerusi akaun Boost mereka di lebih 12,000 lokasi di seluruh negara seperti di pasar malam, medan selera, trak makanan, dan butik terkemuka,” ujarnya.
Aplikasi Boost boleh di muat turun dari Play Store untuk pengguna Android dan dari App Store bagi pengguna Apple. – K! ONLINE










