PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kata Menterinya, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, dakwaan bahawa Bahasa Mandarin telah menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kementerian adalah tidak benar dan ia boleh dibuktikan melalui laman web rasmi kementerian itu.
Menurutnya, kenyataan rasmi dalam Bahasa Melayu hanya akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemah ke dalam Bahasa Mandarin jika ada keperluan terutama apabila melibatkan terma-terma teknikal.
“Pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak pernah dipertikaikan,” jelasnya.
Gambar kenyataan media Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin telah tular dalam media sosial dengan sesetengah pihak mendakwa kononnya kementerian itu lebih mengutamakan Bahasa Mandarin.
Bagaimanapun, Guan Eng berkata, beliau akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosialnya dan Bahasa Mandarin dalam komunikasi bersama akhbar Cina. – Bernama










