KAZAN 25 Jun – Pengendali Colombia, Jose Pekerman yakin Radamel Falcao akan terus menyerlah selepas bintang penyerangnya berjaya menjaringkan gol sulungnya di Piala Dunia selepas pasukan itu menang 3-0 ke atas Poland. “Saya fikir ini antara keseronokan terbesar yang pernah kami alami malam ini,” kata Pekerman mengenai kepentingan jaringan Falcao buat pasukan dan negaranya.
Falcao, 32, terlepas aksi di Brazil empat tahun lalu selepas mengalami kecederaan lutut serius semasa beraksi bersama Monaco dalam saingan Piala Perancis.
Falcao terpaksa melihat rakan senegaranya, James Rodriguez muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol dan jaringan tercantik pertandingan selepas Colombia mara ke saingan suku akhir.
Falcao sentiasa mengimpikan untuk menjaringkan gol dalam aksi Piala Dunia sejak dari usia kanak-kanak dan selepas terlepas aksi di Brazil, keseluruhan rakyat Colombia berdoa agar El Tigre dapat beraksi di kejohanan terbesar dunia itu.
Pekerman berkata: “Dia adalah simbol pasukan, simbol kepada bola sepak Colombia.
“Dia sentiasa berharap untuk menjaringkan gol dan akan kekal cergas seperti aksi hari ini.
“Kami mahu membantunya sebagai pasukan agar dia dapat menunjukkan kemahirannya dan menyerlah.
“Saya fikir, jaringannya hari ini sangat penting bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Dalam aksi itu, Yerry Mina meledak jaringan pembukaan pada minit ke-40 sebelum Falcao menjaringkan gol kedua selepas menerima hantaran Juan Quintero pada minit ke-70 dan lima minit kemudian Juan Cuadrado melengkapkan gol kemenangan Colombia.
Jaringan Falcao itu memberikan kegembiraan buat penyokong mereka di Arena Kazan dan kesemua pemain Colombia berlari ke arah kapten mereka untuk mengucapkan tahniah. – AFP











