Kembar siam perempuan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Kembar siam perempuan meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI 4 Jun – Pasangan kembar siam perempuan yang terkenal selepas berjaya melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan di Tanzania sekitar September lalu, meninggal dunia pada usia 21 tahun semalam.

Maria dan Consolata Mwakikuti, yang bercantum di bahagian abdomen menjadi selebriti di Tanzania apabila media sering mengikuti perjalanan kehidupan mereka sejak di bangku sekolah.

Tahun lalu mereka mencatat sejarah tersendiri sebagai pasa­ngan kembar siam pertama yang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Katolik Ruaha di Iringa di negara yang menyaksikan orang kurang upaya sering dipinggirkan atau ditinggalkan semasa lahir.

Mereka telah memulakan kursus pendidikan untuk menjadi guru dalam subjek sejarah, bahasa Inggeris dan Swahili, ketika disahkan menghidap masalah jantung pada Januari lalu.

“Saya amat bersedih dengan kematian pasangan kembar, Maria dan Consolata. Ketika kali terakhir saya melawat mereka di hospital, mereka sempat berdoa untuk negara ini.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mereka. Berehatlah dengan tenang anak-anak­ku,” kata Presiden Tanzania, John Magufuli.

Pasangan tersebut dilaporkan menjalani rawatan di sebuah hospital berhampiran universiti mereka sebelum disahkan me­ninggal dunia.

Pasangan kembar itu telah ditinggalkan oleh ibu mereka selepas kematian bapa dan kemudian diambil untuk dijaga oleh misi Katolik.

Dalam kenyataan penuh emosi di stesen televisyen negara Julai lalu, Maria pernah menggesa golongan ibu bapa supaya tidak menyembunyikan atau me­ngurung anak-anak mereka yang mengalami kecacatan.

“Mereka mesti tahu anak-anak istimewa itu sebagai manusia, sama ada cacat atau tidak tetap mempunyai hak yang sama,” katanya.

Pasangan kembar yang gemar menjahit dan memasak bersama itu sempat mengucapkan terima kasih kepada guru yang membantu ketika di sekolah menengah serta kerajaan yang menyediakan kenderaan untuk membawa mereka dari rumah ke sekolah setiap hari. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN