Keluarga miskin di Gaal kecewa tidak pernah tersenarai dapat bantuan rumah - Utusan Malaysia

Keluarga miskin di Gaal kecewa tidak pernah tersenarai dapat bantuan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Sebuah keluarga miskin dari Kampung Bunut Rendang, Gaal di sini mendakwa sudah kerap memohon bantuan rumah namun tidak pula pernah tersenarai untuk menikmati bantuan itu.

Ketua keluarga berkenaan, Mohd. Nizam Mohd. Razli, 43, berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri lazimnya setiap tahun disambut sekadar mampu dengan keadaan rumah yang kecil tanpa bilik dan tandas. 

Katanya, mereka masih bernasib baik kerana memiliki kediaman untuk berteduh walaupun tidak mampu menerima kunjungan rakan dan saudara mara. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami makan, berehat dan tidur di tempat yang sama. Di situlah tersidainya pakaian serta di situ jugalah letaknya pinggan mangkuk.

“Rumah kami juga tidak ada tandas dan bilik mandi. Saya tidak mampu membinanya malah atap rumah yang sudah banyak bocor gagal ditukarkan hingga sekarang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Nizam berkata, anak beranaknya akan ke rumah mertua yang berdekatan sekiranya ingin membuang air besar atau mandi dan itu telah menjadi amalan harian keluarga berkenaan. 

“Saya berkerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan yang tidak menentu. Itupun terpaksa menyelenggara kadar sewa teksi kepada pemiliknya selain menghadapi masalah kekurangan pengguna. 

“Hasrat untuk membaiki rumah terpaksa diabaikan demi untuk perbelanjaan harian anak-anak terutama, Che Amirul Asyraf, 17, yang belajar di Kolej Vokasional Pasir Puteh dan Che Nur Amira Fitrina, 10,  belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Gaal,” katanya. 

Menurut isterinya, Halimatul Sabariah Ghazali, 39, tidak boleh berkerja kerana menghidap penyakit diabetis sejak beberapa tahun lalu.

“Saya bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan yang tidak menentu ini disebabkan juga keperluan orang ramai kepada pengangkutan awam semakin berkurangan,” katanya.

Mohd. Nizam berkata, setakat ini lantai konkrit rumahnya mulai merekah dan bocor pada bumbung sehingga menyebabkan beliau sekeluarga basah kuyup setiap kali hujan lebat. 

“Kos membina tandas serta membaiki bumbung dan dinding rumah mungkin tidak sampai RM10,000 namun permohonan kepada beberapa pihak terus dipandang sepi.

“Saya tak tahu kenapa susah sangat saya nak dapat bantuan, saya tengok orang lain mudah saja dapat. Paling tidak, saya doakan ada agensi atau badan tertentu akan tampil membantu kami, ” katanya. 

Mana-mana pihak yang sudi menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd. Nizam di talian 017-9607919. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini