Kelantan kalah lagi - Utusan Malaysia

Kelantan kalah lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 19 Jun – Pasukan ditangga tercorot Liga Super musim ini, Kelantan terus dirundung malang apabila tumpas 0-2 ditangan PKNS FC dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, PKNS FC hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak dekat Bruno Olivera yang melepasi jangkauan penjaga gawang The Red Warriors (TRW) Mohd. Shahrizan Ismail.

Kehadiran penyerang import baharu TRW Cristiano Santos yang sebelum ini dicanang sebagai penyelamat maruah Kelantan gagal membantu apabila beraksi dibawah keupayaan sebenar.

Bagaimanapun, TRW memperoleh peluang tunggal untuk menyamakan kedudukan namun rembatan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-36 terus ke dakapan penjaga gawang PNKS FC Taufiq Ar Rasyid Johar.

Bersambung babak kedua, pelawat lebih banyak mendominasi perlawanan sehingga menyaksikan Mohd. Shahrizan terpaksa mengerah segala pengalaman untuk menyelamat gawangnya daripada dibocori skuad Semut Merah.

Tersentak dengan serangan bertali-arus pelawat, TRW membuat dua pertukaran dengan membawa masuk dua penyerang Nik Azli Nik Alias (minit ke-60) dan Fakrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (minit ke-65) untuk menambah sengat namun usaha itu gagal.

Minit ke-66, Olivera terlepas untuk menggandakan jaringan PKNS FC apabila rembatannya sedikit tersasar biarpun Mohd. Shahrizan sudahpun tertewas ketika itu.

Olivera terus menghadirkan mimpi ngeri TRW apabila meledakkan jaringan kedua PKNS FC pada minit ke-86 seterusnya membunuh sisa-sisa perjuangan skuad kendalian Yusri.

Kekalahan itu menyaksikan TRW semakin hampir untuk mengetuk pintu ke saingan Liga Perdana 2019 apabila tumpas buat kali ke-11 dalam 16 perlawanan setakat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN