PUTRAJAYA – Kelab Tasik Putrajaya mengunjurkan untuk menambah 10 peratus lagi ahlinya menjelang akhir tahun ini, berbanding bilangan sedia adanya sebanyak 911 orang.
Pengurus kelab tersebut, Azizan Baharom (gambar) berkata, pelbagai strategi pemasaran sedang dijalankan untuk menarik minat lebih ramai ahli mendaftar kerana ia bakal memberi manfaat bukan sahaja untuk individu tetapi juga ahli keluarganya untuk beriadah serta bersantai.
“Kami menjangkakan untuk mencatat keahlian sehingga 1,500 orang untuk pelan jangka panjang,” katanya ketika ditemui di kelab berkenaan di Presint 8 di sini baru-baru ini.
Azizan menjelaskan, Kelab Tasik Putrajaya yang kini berusia 16 tahun itu merupakan kelab yang termurah menawarkan yuran keahliannya kepada orang ramai.
Menurut beliau, bayaran keahlian ialah RM1,000 untuk kakitangan kerajaan, RM2,000 untuk syarikat swasta manakala bayaran yuran bulanan ialah sebanyak RM50.
“Kumpulan kakitangan kerajaan merupakan yang paling ramai menjadi ahli dengan mewakili sebanyak 46 peratus, swasta (25 peratus) dan golongan pencen (29 peratus),” ujarnya.
Tambah beliau, setiap ahli mendapat akses untuk menggunakan kemudahan yang disediakan seperti kolam renang, gimnasium, peralatan sukan air seperti kayak, kanu dan juga bot dayung.
“Di sini juga terdapat restoran dengan tawaran diskaun sebanyak 20 peratus kepada ahli, bilik mesyuarat dan dewan majlis untuk memberi kemudahan ahli dan orang ramai menganjurkan majlis hari jadi, perkahwinan, hari keluarga dan seminar,” jelasnya.
Tambah beliau, kelab tersebut terkenal dengan aktiviti sukan air serta telah menganjurkan pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa.
Program terbaharunya ialah Kelab Tasik Putrajaya Malaysia Open Water Swimming Challenge pada bulan Mei lalu.
Selain itu, pihaknya juga menawarkan kursus asas latihan berenang dan juga selam skuba kepada ahli kelab.










