KESAL dengan campur tangan pihak tertentu, Zainal Abidin Abdul Hamid pernah ‘merajuk’ selama lima tahun dalam menggerakkan aktiviti menyediakan Bubur Lambuk Agong yang cukup sinonim dengan bulan Ramadan di Masjid Jamek Kampung Baru.
Dalam tempoh tersebut, ada pihak lain mengambil alih tugasnya menyiapkan juadah istimewa berbuka puasa itu. Namun, setiap ‘air tangan’ tukang masak berbeza.
Justeru, rasanya tidak sama dengan resipi yang diperturunkan dari tiga generasi penduduk Kampung Baru. Mulalah penduduk merindui ‘air tangan’ Zainal yang berpengalaman lebih 30 tahun memasak bubur lambuk di masjid terkenal itu.
Mengapa tidak, sepanjang tempoh lima tahun ketiadaan Zainal, banyak aduan diterima daripada mereka yang sudah biasa menikmati Bubur Lambuk Agong. Ada yang kata buburnya cair, tidak cukup lemak dan kurang rempah.
Bubur lambuk yang dinikmati dikatakan tidak begitu sedap seperti mana yang pernah dimasak oleh Zainal yang merupakan generasi keempat mempertahankan legasi resipi turun temurun Bubur Lambuk Agong yang asli di masjid itu.
Sejak menerima banyak aduan, rajuk Zainal semakin reda dan akhirnya beliau membuat keputusan untuk kembali semula meneruskan kesinambungan amalan tradisi penduduk terdahulu. Ini kerana dia tidak mahu ‘nama baik’ dan kualiti bubur lambuk yang menjadi ikon pelancongan di kampung itu terus terjejas.
“Rasa sayang mula terbit apabila memikirkan kualiti masakan yang tidak memenuhi piawaian. Saya fikir jika saya tidak meneruskan apa yang telah diwarisi penduduk asal Kampung Baru, siapa lagi? Jadi, saya buang rajuk demi memastikan legasi Bubur Lambuk Agong terus terpelihara,” katanya kepada S2.
Meskipun ramai pihak menawarkan Zainal menjadi tukang masak di masjid kampung lain, namun sebagai penduduk asal Kampung Baru, beliau menolaknya kerana mahu meneruskan tradisi hanya di Masjid Jamek.
Zainal berkata, beliau tidak pernah melakukan perubahan pada resipi asal yang diwarisi, malah terus mengekalkan resipi yang kini berusia kira-kira 100 tahun.
“Inilah keistimewaan sebenar Bubur Lambuk Agong. Resipinya diperturunkan dari zaman ke zaman. Resipi ini bermula daripada seorang jemaah Masjid Jamek yang juga penduduk asal kampung ini. Beliau dikenali sebagai Tuan Haji Said. Beliau kemudian berkongsi resipi dan cara-cara membuatnya dengan Imam Tahir, diikuti Haji Munik. Saya pula belajar menyediakan bubur lambuk ini daripada Haji Munik,” ujarnya.
Bercerita lanjut, katanya, mengikut cerita orang tua, setiap penduduk akan membawa juadah untuk berbuka puasa di masjid itu sepanjang Ramadan.
“Tuan Haji Said membawa bubur lambuk yang dimasaknya sendiri di rumah. Jemaah masjid memuji keenakan rasa bubur tersebut.
“Disebabkan rasanya yang sedap, penduduk membuat permintaan supaya Tuan Haji Said menyediakan bubur lambuk di masjid untuk juadah berbuka. Semua bahan masakan disumbangkan penduduk. Sejak itu, amalan membuat bubur lambuk diteruskan sehingga ke hari ini,” tambahnya.
Menariknya pada hari ini, Bubur Lambuk Agong turut diagihkan kepada orang ramai. Ada yang sanggup berbaris panjang sejak awal petang untuk mendapatkan bubur lambuk yang popular ini.
Umum mengetahui rasa lemak dan manis daging yang dicampur dengan pelbagai rempah ratus menjadi faktor keenakan juadah yang digemari itu. Untuk memastikan keenakan juadah tersebut, Zainal amat menitikberatkan kesegaran bahan mentah, sukatan bahan yang tepat, penggunaan periuk dan peralatan.
“Bahan mentah seperti daging, santan, daun sup dan daun bawang perlulah dihantar setiap hari pada waktu pagi. Daun sup dan daun bawang akan sampai terlebih dahulu sekitar pukul 7 pagi. Daging dan santan akan dihantar kemudian, pukul 9 pagi ketika proses memasak sudah dimulakan.
“Ini bagi menjamin kesegaran bahan tersebut. Jadi, daging dan santan tidak dibiar lama sebelum dimasukkan ke dalam periuk,” katanya.
Mengenai sukatan bahan pula, Zainal akan memastikan setiap bahan disusun mengikut aturan bagi setiap periuk.
“Perkara ini sangat penting bagi memastikan ketepatan sukatan bahan yang perlu dimasukkan ke dalam periuk. Kita tidak mahu berlaku masakan terlebih masin atau terkurang santan atau rempah ratus. Situasi ini dapat dielakkan sekiranya setiap bahan disusun mengikut periuk,” katanya.
Selain itu, katanya, dia sentiasa menggunakan periuk dan peralatan yang sama meskipun terpaksa membawanya menaiki bas atau kapal terbang.
“Kami banyak menerima tajaan untuk memasak bubur lambuk di negeri lain. Saya akan membawa periuk dan peralatan memasak yang sama.
“Penggunaan periuk yang sama sangat penting bagi mengelakkan berlaku perubahan dari segi kuantiti sukatan bahan. Dari dulu hingga sekarang, saya menggunakan periuk yang sama sebab saiz satu periuk itu sesuai untuk sukatan beras 15 kilogram yang diperlukan,” katanya.










