PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei melakar kejutan apabila berjaya menumbangkan pemain No. 9 dunia, Sung Ji-hyun dari Korea Selatan bagi menempah tiket ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2018 hari ini.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, pemain berusia 18 tahun itu memulakan saingan dengan perlahan, namun kembali menemui rentak permainan menerusi kemenangan 21-15, 18-21, 23-21.
Menurut Jin Wei yang berada di kedudukan ke-32 dunia, kejayaan tersebut merupakan satu kebanggaan bagi dirinya terutama apabila turun di gelanggang sendiri.
“Saya amat teruja apabila dapat menewaskan pemain pilihan ketujuh kejohanan. Saya bernasib baik kerana meraih kemenangan memandangkan Ji-hyun dapat membaca corak permainan saya. Aksi pertama saya tewas dengan agak teruk.
“Namun pada set kedua, saya mengubah corak permainan sehingga boleh mengutip banyak mata. Saya mengambil kelebihan ini untuk terus fokus sehingga menang, sekali gus membawa perlawanan ke set penentuan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa sokongan daripada penonton telah memberi motivasi kepada saya untuk terus berjuang.
“Kehadiran mereka telah membuatkan saya berjuang habis-habisan seperti perlawanan akhir,” katanya yang akan menentang pemain pilihan pertama, Tai Tzu Ying dari Taiwan pada suku akhir hari ini.











