BAU 31 Mei – Kegembiraan menyambut Perayaan Gawai esok bertukar hambar bagi 182 keluarga masyarakat Bidayuh di sini setelah terjejas dengan banjir kilat membawa lumpur hingga menenggelamkan pelbagai barangan termasuk kenderaan, malam tadi.
Menurut salah seorang mangsa dari Kampung Bong, Suhai Minos, 60, kejadian tersebut pertama kali berlaku di sini dengan air naik hingga ke paras lutut.
“Biasanya kalau air naik pun tidak tinggi, namun semalam air naik begitu cepat sedangkan hujan turun di sini biasa sahaja, malah lokasi rumah agak tinggi
“Habis barang dalam rumah termasuk persediaan Gawai dan dua kenderaan tenggelam, manakala sebuah stor berdekatan sungai hanyut dibawa arus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dewan Bung Siradjak, Tringgus hari ini.
Salah seorang mangsa, Sireh John, 70, berkata, tidak ada Gawai buat kami sekeluarga pada kali ini.
“Habis barang-barang Gawai dan bahan masakan dihanyut air yang naik sehingga paras dada di rumah didiami bersama empat cucu.
“Peti sejuk, televisyen, malah kereta cucu tenggelam dan enjinnya sudah tidak boleh dihidupkan lagi,” ujarnya.
Bagi Ketua Kampung Matan Nguan, Maeh Akui, 51, pula, banjir kilat sebegitu tidak pernah terjadi sejak lebih 30 tahun lalu.
“Sebanyak 15 daripada 56 rumah di kampung saya terjejas sehingga persiapan Gawai mereka hanyut dibawa air.
“Nampaknya sambutan Gawai dan ‘ngabang’ (ziarah) dibuat seadanya, tidak semeriah seperti kebiasaan sebelum ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Pertahan Awam Daerah Bau, Patrick Lagak Pateh memberitahu, banjir tersebut melibatkan tiga kampung iaitu Tringgus Rabak Rotan, Matan Nguan dan Bong.
“Banjir kilat luar biasa itu dipercayai kemungkinan limpahan air dari gunung di hulu dengan hujan lebat berterusan, menyebabkan air naik mendadak sekitar pukul 7.45 malam tadi,” jelasnya.










