KOTA BHARU 21 Jun – Kedudukan The Red Warriors (TRW) yang berada di tangga tercorot Liga Super ketika ini meresahkan penyokong yang tidak mahu melihat pasukan kesayangan mereka ‘ditendang’ keluar dan terpaksa beraksi dalam Liga Perdana musim depan.
Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu Mohd Zainy Zain berkata walaupun masih berbaki enam perlawanan, sukar untuk Kelantan menambah baik kedudukan kerana perlu berdepan dengan beberapa pasukan yang kuat.
“(Pengendali Kelantan) Yusri Che Lah dan pemain selepas ini akan berdepan dengan pasukan terkuat iaitu Johor Darul Ta’ zim (JDT), Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Melaka United dan ia merupakan satu laluan sukar bagi pasukan memperbaiki kedudukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mohd. Zainy berkata, peluang Kelantan kekal beraksi dalam Liga Super semakin kelam kerana pastinya pasukan yang bakal ditentang mahu menambah mata masing-masing dan tidak akan memberi muka kepada mereka.
“Kalau dilihat kualiti permainan Kelantan ketika menentang PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV Selasa lalu, terlalu banyak kelemahan yang mengecewakan dan jika kelemahan ini berterusan sudah pasti akan memberikan mata mudah kepada lawan pada enam perlawanan seterusnya,” katanya.
Katanya kehadiran pemain import tidak mampu memperkukuh prestasi Kelantan kerana pasukan itu dibarisi pemain muda tempatan yang tidak mempunyai banyak pengalaman di samping tiada pemain senior untuk membimbing mereka.
Beliau berpandangan pemain senior seperti Mohd. Badri Radzi dan Amiridzwan Taj Tajudin yang masih berkhidmat dengan pasukan perlu kembali digunakan bagi mengetuai pemain muda, sekali gus mengimbangi persembahan ketika beraksi.
Selepas hampir 10 tahun beraksi dalam Liga Super, prestasi bekas juara treble 2012 itu berada pada tahap terburuk musim ini apabila menghuni tangga ke-12, tercorot dalam saingan dengan 11 mata selepas 16 perlawanan menerusi tiga kemenangan, dua seri dan 11 kekalahan. – BERNAMA










