Kawasan pendaratan penyu karah di Pulau Upeh dipelihara - Utusan Malaysia

Kawasan pendaratan penyu karah di Pulau Upeh dipelihara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Kerajaan negeri kini menumpukan terhadap usaha memulihara dan menjaga alam sekitar terutamanya di kawasan pendaratan penyu karah di Pulau Upeh dan di kawasan lain di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, selain Pulau Upeh, kawasan lain yang menjadi tumpuan pendaratan penyu karah termasuklah Padang Kemunting, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Pasir Gembur, Teluk Belanga, Tanjung Serai, Tanjung Dahan dan Meriam Patah.

“Memandangkan Pulau Upeh merupakan kawasan pendaratan penyu utama dengan lokasinya berhampiran kawasan projek penambakan laut pantai Klebang, maka aktiviti pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar di pulau itu dijadikan projek angkat Pejabat Ketua Menteri Melaka.

“Sehubungan itu, saya juga akan mengadakan lawatan ke Pulau Upeh dalam masa terdekat bagi meninjau kawasan tersebut selain melihat sendiri kesan pembangunan di sekitarnya yang dikhuatiri boleh menjejaskan Pulau Upeh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited dalam menjaga kelestarian alam sekitar, antaranya dengan memutuskan semua kegiatan mengorek dan mengambil pasir bagi aktiviti daratan serta kutipan hasil hutan negeri ini dihentikan berkuat kuasa 1 Julai depan.

Pulau Upeh terkenal sebagai antara pulau pendaratan penyu karah di negara ini, malah untuk rekod sebanyak 36 penyu karah telah mendarat tahun lalu dengan 4,515 biji telur berjaya dikutip. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN