KAZAN – Finalis empat tahun lalu, Argentina perlu memperbaiki kelemahan-kelemahan utama jika mahu menewaskan naib juara kejohanan Euro 2016, Perancis pada peringkat kalah mati Piala Dunia 2018 di Arena Kazan malam esok.
Benteng pertahanan dilihat menjadi aspek utama yang meresahkan La Albiceleste pada tiga perlawanan Kumpulan D apabila menyaksikan mereka seri 1-1 dengan Iceland dan kemudian tewas 0-3 kepada Croatia sebelum mencatatkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Nigeria.
Tonggak berpengalaman, Javier Mascherano perlu bermain pada posisi betul kerana pemain berusia 34 tahun itu sepatutnya membantu bahagian pertahanan tetapi dia tidak menjalankan tugas dengan baik setakat ini.
Mascherano dilihat sebagai ‘lubuk’ buat Argentina meskipun bekas bintang Barcelona yang sudah membuat 146 penampilan antarabangsa itu sentiasa mempamerkan komitmen tinggi terutama sewaktu menang ke atas Nigeria untuk meraih slot ke peringkat kalah mati.
Ketua jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli juga perlu memastikan bintang-bintang mereka seperti Angel Di Maria kembali bermain pada tahap sebenar dalam usaha membantu pasukan itu kembali digeruni pada Piala Dunia kali ini.
Begitu juga dengan ‘mesin gol’ Juventus, Gonzalo Higuain yang dilihat hilang arah, bahkan gagal menjaringkan gol dalam lapan perlawanan antarabangsa bersama Argentina.
Mungkin La Albiceleste sudah boleh menurunkan seorang lagi bintang Juventus, Paulo Dybala dalam kesebelasan utama menentang Perancis malam esok.
Jika masalah-masalah tersebut tidak diperbaiki, kemungkinan rekod bersih Argentina terhadap Perancis.
Pada dua pertemuan terdahulu menyaksikan mereka menang 1-0 pada 2007 dan 2-0 (2009), kedua-duanya dalam aksi persahabatan berakhir. – AP











