PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) di bawah pimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan didesak supaya melakukan perubahan segera selepas pasukan The Red Warriors (TRW) dilihat semakin hilang watak sebagai sang juara dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, perubahan segera itu juga bagi mengelakkan TRW terjerumus ke saingan Liga Premier musim depan selepas mempamerkan aksi tidak konsisten musim ini.
“Masih belum terlambat untuk melakukan perubahan. Pengurusan KAFA perlu memastikan TRW tidak turun ke Liga Premier kerana pasukan ini dibina oleh saya untuk aksi Liga Super.
“Untuk itu, kita mesti berfikiran positif dan saya sentiasa yakin orang Kelantan pasti lebih berjaya kalau bersatu dan tolong menolong, bukannya untuk menjatuhkan (TRW),” katanya menerusi entri laman sosial Facebook miliknya semalam.
Annuar yang juga bapa pembangunan bola sepak Kelantan memberitahu, beliau telah menghubungi pengurusan KAFA untuk memberikan dorongan.
Katanya, beliau tidak boleh campur tangan dalam soal pengurusan kerana perkara itu berada di luar bidang kuasanya.
“Saya berharap KAFA dapat membawa segera penyerang import yang bagus dan boleh menjaringkan gol. Jentera tengah yang kreatif amat diperlukan oleh Kelantan ketika ini. Pemain junior yang berada dalam pasukan ketika ini memerlukan pemain berpengalaman sebagai tulang belakang.
“Macam sekarang Kelantan lebih banyak bermain menggunakan kudrat, tapi kurang menggunakan kepala (untuk berfikir merencanakan serangan). Perkara ini perlu diperbaiki segera,” katanya.
Prestasi Kelantan semakin merudum apabila pengendali Fajer Ibrahim yang mengambil tugas Sathit Bensoh melakukan transformasi luar biasa dengan menyingkirkan pemain-pemain berpengalaman secara besar-besaran.
Percaturan itu mengundang padah buat TRW apabila pemain muda gagal memberikan saingan kepada pasukan lawan yang lebih berpengalaman.
Selepas mengharungi 12 perlawanan Kelantan berada di kedudukan kedua tercorot dalam carta Liga Super dan berkongsi lapan mata dengan pasukan tercorot, Negeri Sembilan.










