Kadar maut motosikal tinggi - Utusan Malaysia

Kadar maut motosikal tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 27 Jun – Sikap tidak ambil kisah dan lalai pengguna jalan raya termasuk ibu bapa yang membenarkan anak-anak bawah umur menunggang motosikal antara penyumbang kepada peningkatan kemalangan maut dalam Op Selamat sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintenden Zahari Mohamed berkata, statistik Op Selamat yang ditamatkan Jumaat lalu merekodkan seramai 20 penunggang motosikal maut daripada 36 kematian yang membabitkan 30 kes kemalangan maut.

“Berdasarkan siasatan, 30 kes kemalangan maut berlaku akibat kecuaian iaitu 10 kes disebabkan terbabas, 11 kes bertembung, ma­sing-masing tiga kes langgar belakang kenderaan dan langgar pejalan kaki, dua bergesel dan satu kes melanggar objek.

“Kadar kematian paling tinggi melibatkan golongan muda berusia bawah 20 tahun mencatatkan 14 kematian iaitu lapan daripadanya adalah berusia 15 tahun ke bawah yang kebanyakan mereka adalah penunggang motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Menurutnya, ibu bapa yang mem­biarkan anak mereka me­nung­gang motosikal tanpa lesen ke­banyakannya tidak tahu bahawa tindakan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Ibu bapa terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak me­lebihi enam bulan atau kedua-dua­nya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahari memberitahu, sebanyak 28 kes pecah rumah dan curi telah direkodkan sepanjang Op Selamat siri 13/2018.

Katanya, daripada jumlah itu, sembilan kes dicatatkan di Kota Setar diikuti Kubang Pasu (lima kes), Kuala Muda dan Kulim (ma­sing-masing empat kes), Baling (tiga kes), manakala Pendang, Padang Terap dan Sik (satu kes).

“28 kes pecah rumah ini melibatkan pemilik kediaman yang tidak melaporkan kepada balai polis berdekatan sebelum mening­galkan kediaman mereka walaupun berulang kali kita maklumkan perkara ini,” katanya.

“Laporan tersebut membolehkan Unit Rondaan Bermotor (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan yang dilaporkan sebagai usaha mencegah kejadian jenayah pecah rumah dan curi sepanjang tempoh operasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini