MOSCOW 2 Jun – Seorang juruterbang yang hilang dan disangka telah meninggal dunia selepas pesawatnya ditembak jatuh tiga dekad lalu semasa pencerobohan Kesatuan Soviet (kini Rusia) di Afghanistan ditemukan masih hidup dan mahu pulang ke tanah air.
Ketua Kesatuan Payung Terjun, Valery Vostrotin yang mengetuai suruhanjaya bersama Rusia-Amerika Syarikat (AS) tentang tahanan perang dan tentera hilang berkata, juruterbang itu masih hidup dan namanya tidak boleh didedahkan atas faktor keselamatan.
“Amat mengagumkan dan sekarang dia perlukan bantuan,” kata Vostrotin.
Timbalan Ketua Persatuan Veteran Battle Brotherhood, Vyacheslav Kalinin pula berkata, pesawat diterbangkan lelaki itu ditembak jatuh pada 1987 dan dia kini dipercayai berusia lebih 60 tahun.
Pihaknya percaya juruterbang tersebut berada di Pakistan kerana Afghanistan pernah mempunyai kem tahanan perang di negara berkenaan.
Agensi berita RIA Novosti melaporkan, semasa pencerobohan itu antara 1979 dan 1989, sebanyak 125 pesawat Soviet ditembak jatuh di Afghanistan.
Semasa tentera Soviet berundur pada 1989, kira-kira 300 tenteranya disenaraikan sebagai hilang dan sejak itu, 30 orang daripadanya ditemukan dan pulang ke tanah air.
Akhbar perniagaan Kommersant dalam pada itu melaporkan, hanya seorang juruterbang Soviet yang pesawatnya ditembak jatuh pada 1987 dengan anggota terbabit dikenali sebagai Sergei Pantelnyuk yang berasal dari wilayah selatan Rusia, Rostov.
Ibu dan kakak Pantelnyuk juga masih hidup ketika akhbar Komsomolska Pravda cuba mengesan anak perempuan juruterbang berkenaan yang dilahirkan beberapa bulan sebelum bapanya hilang.
Sementara itu, Senator Frant Klintsevich berkata, beliau pernah berjumpa dengan seorang anggota tentera Soviet semasa lawatan ke Afghanistan beberapa tahun lalu dengan lelaki itu enggan mendedahkan namanya selain berdepan masalah bertutur dalam bahasa Rusia dan mendakwa sudah terlewat untuknya pulang ke negara asal. – AFP










