KUALA LUMPUR 10 Jun – Laporan sejumlah 2,000 ahli UMNO yang keluar parti dan bakal menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar semalam sesuatu yang meragukan.
Ketua Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Mohd. Amir Abd. Halim berkata, pihaknya mengakui bahawa ahli Pemuda UMNO yang memberi kenyataan dalam laporan tersebut merupakan bekas Ketua Pemuda Cawangan Bukit Jalil yang mana status sayap cawangan tersebut baru ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Saya tidak berniat mendedahkan aib tetapi sekadar mengenali siapa sebenarnya penggerak ini, wajarlah sekiranya saya nyatakan bahawa pelbagai perkara pernah dilakukan oleh individu ini di luar pengetahuan kami dan ada sebahagian besar daripada merupakan tindakan untuk mempopularkan diri dan menonjolkan dirinya saja. Daripada segi gerakan kerja parti, beliau telah gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Angka 2,000 orang pengikutnya yang dibawa lompat parti tersebut amat meragukan walhal jumlah ahli parti di dalam kawasan cawangannya kurang dari 200 orang. Sebelum ini, beliau pernah mendakwa perkara yang sama di hadapan kami, namun sehingga ke hari ini masih gagal mengemukakan senarai nama mereka yang dimaksudkan telah bersama dengannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan sekurang-kurangnya 2,000 ahli UMNO pelbagai peringkat dan cawangan yang kecewa dengan kepimpinan parti bakal menyertai Amanah.
Sebahagian daripada mereka termasuklah beberapa pimpinan cawangan seperti Ketua Pemuda UMNO Bandar Bukit Jalil, Aliff Tafid, Ketua Wanita UMNO Bukit Jalil, Norhaida Kamaruddin serta bekas Bendahari UMNO Bahagian Batu, Hisham Ahamad Zahmi.
Menurut Aliff, kesemua mereka sepakat meninggalkan UMNO berkuat kuasa 1 Jun lalu dan bakal menyertai Amanah Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat.
Sementara itu, jelas Mohd. Amir, tindakan keluar parti oleh kumpulan tersebut tidak akan merugikan UMNO.
“Secara peribadi saya beranggapan. ada tidak menambah, tiadapun tidak merugikan. Maka biarlah parasit ini tidak berada di dalam UMNO.
“Keputusan yang dibuat amat baik sekali dan saya yakin ramai lagi mereka yang layak mahu terus berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air meskipun kami kini telah bergelar pembangkang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











