SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan membekukan cuti kesemua anggota penguatkuasanya bagi memantau lalu lintas yang dijangka sesak sempena Hari Raya Aidilfitri di negeri ini mulai Jumaat ini.
Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, seramai 140 anggota penguatkuasa di semua daerah di negeri ini akan diarah memantau beberapa jalan utama yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.
“Cuti 140 anggota penguatkuasa JPJ negeri ini akan dibekukan bermula 8 hingga 24 Jun ini. Mereka yang bertugas akan memantau di lebuh raya, jalan persekutuan serta jalan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Senawang di sini hari ini.
Ditanya lokasi panas yang sering berlaku kemalangan, Azrin memaklumkan, pihaknya telah mengenalpasti lolasi itu namun, enggan mengulas lanjut kerana perkara itu akan diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Khamis ini.
Sementara itu, mengenai program hari ini, beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama PLUS Malaysia Berhad, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Kompleks Al- Sa’adah.
Tambahnya, sebanyak 500 pek bubur lambuk serta risalah keselamatan jalan raya diedarkan kepada pengguna jalan raya.
Hadir sama, Pengarah JKJR negeri, Zaitun Iffah Hamid dan Penolong Pengurus Kompleks Al- Sa’adah, Bukhari Safian. – K! ONLINE











