PYONGYANG – Tiga pegawai tertinggi tentera Korea Utara telah dipecat daripada jawatan mereka, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) dalam tindakan yang disifatkan oleh penganalisis-penganalisis bertujuan untuk menyokong usaha pemimpinnya, Kim Jong-un merancakkan semula pembangunan ekonomi dan menjalinkan hubungan dengan dunia luar.
Jong-un sedang membuat persediaan untuk mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Donald Trump di Singapura pada Jumaat ini, pertemuan pertama antara pemimpin Korea Utara dan Presiden AS.
Pegawai AS berkenaan yang enggan identitinya didedahkan menyatakan demikian kelmarin sebagai mengulas laporan agensi berita Korea Selatan, Yonhap bahawa tiga pegawai tertinggi tentera Korea Utara itu telah digantikan.
Motif Jong-un memecat mereka masih tidak jelas tetapi penganalisis-penganalisis berkata, tindakan mengejut itu membolehkan beliau dan parti pemerintah mengetatkan kawalan ke atas Tentera Rakyat Korea Utara (KPA) ketika detik kritikal penglibatan Pyongyang dalam arena antarabangsa dan pembangunan domestik.
“Sekiranya Jong-un bersedia untuk berdamai dengan AS dan Korea Selatan serta bersedia untuk melucutkan sebahagian daripada program nuklear Pyongyang, maka, beliau perlu mengekang pengaruh KPA,” katanya.
“Rombakan itu bagi memastikan mereka digantikan dengan pegawai yang setia kepada Jong-un sahaja dan bukan orang lain,” kata Ken Gause yang merupakan pengarah pertubuhan penyelidikan dan analisis, Kumpulan Hal Ehwal Antarabangsa. – Reuters











