SINGAPURA 10 Jun – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tiba di Singapore hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang diharap dapat menghentikan persaingan membina senjata nuklear.
Pertemuan dua pemimpin itu di Pulau Sentosa Selasa ini adalah satu detik bersejarah.
Kedua-dua buah negara telah bermusuh sejak Perang Korea pada tahun 1950-53 dan tiada pemimpin dari negara berkenaan yang bertemu atau bercakap melalui telefon.
Jong Un tiba di Lapangan Terbang Changi selepas melalui penerbangan paling jauh beliau.
Beliau disambut oleh Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, yang kemudiannya memuat naik gambar beliau bersalaman dengan Jong Un ke Twitter.
Pemimpin Korea Utara itu yang dianggarkan berusia 34 tahun menjadi pemimpin negara termuda di dunia.
Kedua-dua buah negara berada di ambang peperangan tahun lalu apabila Jong Un dan Trump saling menuduh dan mengecam hinggalah Jong Un menawarkan untuk bertemu Trump bagi membincangkan isu senjata nuklear dan diterima baik oleh Trump. – REUTERS











