JKM Perlis sampaikan sumbangan kepada 30 penerima bantuan, semarakkan budaya sedekah - Utusan Malaysia

JKM Perlis sampaikan sumbangan kepada 30 penerima bantuan, semarakkan budaya sedekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 12 Jun – Bagi meringankan beban dan menyemarakkan budaya bersedekah sempena Ramadan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri hari ini telah mengedarkan sejumlah bekalan keperluan asas kepada 30 orang penerima bantuan agensi itu daripada 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Program Konvoi Ziarah Kasih Ramadan yang julung-julung kali diadakan itu, dijayakan menerusi hasil kutipan sumbangan wang tunai daripada kakitangan JKM tersebut yang bermurah hati.

Setiap penerima diberikan barangan berupa beras muatan lima kilogram (kg), minyak masak (2 kg), minuman kordial, biskut, tin sardin (dua), susu pekat manis, gula pasir (2 kg), kuih raya, bihun, sos cili, kicap, serbuk kopi, milo dan teh.

Pengarah JKM negeri, Mohammad Hazam Ismail berkata, tujuan program ini adalah untuk menggalakkan budaya dan sunnah bersedekah kepada golongan memerlukan di bulan Ramadan, seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Katanya, program ini juga diharap dapat menggalakkan interaksi yang sedia terjalin antara penerima bantuan JKM dengan para kakitangan dan pegawai agensi itu.

“Konvoi ini telah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kawasan DUN di bawah Parlimen Arau yang diketuai saya sendiri diikuti Timbalan Pengarah (Strategik) JKM negeri, Bohari Othman di Parlimen Padang Besar dan Timbalan Pengarah (Operasi 1) JKM negeri, Adnan Jaafar ke Parlimen Kangar,” katanya di sini.

Mohammad Hazam menambah, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa depan dan semoga usaha kecil itu dikira sebagai pahala dan memberi manfaat kepada penerima bantuan bersasar yang akan menyambut Syawal tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN