Jerman terkena badi juara - Utusan Malaysia

Jerman terkena badi juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW 18 Jun – Jerman menjadi penyandang juara ketiga dalam tempoh 16 tahun yang kalah dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018, 0-1 kepada Mexico dalam Kumpulan F semalam.

Jaringan penyerang PSV Eindhoven, Hirving Lozano pada minit ke-35 memastikan Mexico meraih tiga mata penting menerusi serangan balas pantas di Stadium Luzhniki sekali gus menyaksikan El Tricolor menundukkan Die Mannschaft buat kali kedua dalam sejarah.

Kekalahan Jerman itu mengulangi apa yang dialami juara 1998 Perancis 0-1 kepada Senegal pada 2002 dan nasib serupa menimpa Sepanyol pada 2014 yang kalah 1-5 kepada Belanda. Kedua-dua pasukan itu kemudian gagal melepasi peringkat kumpulan.

Persiapan Jerman menjelang kempen kali ini terganggu dengan keputusan mengecewakan dalam beberapa perlawanan persahabatan selain kontroversi melibatkan pasukan dan mungkin berdepan risiko tersingkir di peringkat kumpulan.

Seandainya mereka menamatkan persaingan peringkat awal selaku naib juara kumpulan di belakang Mexico, mereka akan bertemu Brazil dalam peringkat kalah mati.

“Sangat membanggakan apabila kami memulakan kempen kali ini dengan keputusan positif terutama ketika berdepan juara dunia.

“Sudah pasti ini adalah jaringan terbaik dalam hidup saya, kami semua mengimpikan untuk beraksi dalam Piala Dunia,” kata Lozano.

Sementara itu, jurulatih Jerman, Joachim Loew enggan mengulas panjang mengenai kekalahan itu dan hanya berkata: “Kami bermain dengan teruk.”

Loew menurunkan lapan daripada sembilan pemain yang beraksi dalam Piala Dunia 2014 dengan Mesut Ozil baru pulih daripada kecederaan lutut dan Manuel Neuer sudah lama tidak beraksi akibat kecederaan.

Jerman memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol termasuk menerusi gerakan pantas Timo Werner yang mengatasi pertahanan Mexico, namun gagal menyempurnakan jaringan manakala percubaan Mats Hummels menghala tepat ke arah penjaga gol, Guillermo Ochoa.

Neuer berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk percubaan jarak jauh Hector Herrera selain tandukan Hector Moreno.

Carlos Salcedo hampir menjaringkan gol sendiri menerusi tandukannya yang kemudian disusuli percubaan lemah Werner yang berjaya diselamatkan Ochoa.

Mexico menggandakan asakan pada awal permainan dengan Miguel Layun hampir menjaringkan gol, namun jaringan yang dicari hadir 10 minit kemudian menerusi serangan balas pantas yang berjaya memecahkan tembok lawan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN