Jepun temani Colombia ke pusingan kedua - Utusan Malaysia

Jepun temani Colombia ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VOLGOGRAD 29 Jun – Rekod bersih Jepun berbanding Senegal membolehkan pasukan dari Asia itu melangkah ke saingan kalah mati bersama Colombia biarpun Samurai Blue tewas 1-0 kepada Poland dalam aksi terakhir Kumpulan H di Volgograd Arena, sebentar tadi.

Ketika ini Senegal yang tewas 1-0 kepada Colombia di Samara Arena dan Jepun berkongsi mata serta jaringan namun penentuan untuk muncul sebagai naib juara Kumpulan H ditentukan menerusi bilangan kad kuning paling sedikit diperoleh sepanjang kempen pusingan awal.

Sepanjang tiga perlawanan Kumpulan H, Jepun telah mengumpul empat kad kuning berbanding Senegal enam sekali gus membolehkan pasukan dari Asia itu melangkah ke saingan kalah mati bersama pendahulu kumpulan, Colombia.

Dalam perlawanan tersebut gol tunggal Poland dijaringkan oleh Jan Bednarek pada minit ke-59 manakala jaringan Colombia ketika menewaskan Senegal diperoleh menerusi Yerry Mina pada minit ke-74.

Dalam aksi 16 akhir, Colombia akan berdepan naib juara Kumpulan G iaitu sama ada England atau Belgium begitu juga Jepun yang akan menentang juara kumpulan tersebut melibatkan salah satu daripada dua pasukan berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN