Jepun lakar kemenangan manis - Utusan Malaysia

Jepun lakar kemenangan manis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARANSK 19 Jun – Penyerang Jepun, Yuya Osako muncul wira buat Samurai Blue meraih kemenangan 2-1 ke atas Colombia dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Mordovia Arena sekali gus muncul pasukan Asia pertama berupaya menewaskan lawan dari benua Amerika Selatan dalam kempen Piala Dunia.

Lebih manis kemenangan Jepun itu juga membuktikan prestasi pasukan tidak langsung terjejas biarpun berdepan pertukaran pengurus pasukan dua bulan sebelum Piala Dunia 2018 bermula.

Aksi Colombia menentang Jepun bermula dengan kad merah yang dilayangkan kepada pemain skuad Los Cafeteros, Carlos Sanchez seawal minit ketiga saingan.

Sanchez dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan selepas melihat pemain tersebut menghalang rembatan Shinji Kagawa menggunakan lengannya di dalam kawasan kotak penalti Colombia, sekali gus membolehkan Jepun memperoleh sepakan penalti.

Gol awal perlawanan hasil jaringan penalti Jepun itu dijaringkan oleh Kagawa pada minit keenam yang menyaksikan Colombia terpaksa meneruskan saingan dengan 10 pemain.

Colombia yang beraksi dengan 10 pemain dilihat terpaksa bekerja keras untuk mengawal rentak permainan mereka serta berusaha mencipta peluang jaringan.

Pada minit ke-39, Colombia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Juan Quintero hasil sepakan percuma.

Kedudukan jaringan tersebut membuatkan kedua-dua pasukan mula mengatur lebih banyak serangan balas namun kelebihan tetap memihak Jepun berbanding Colombia.

Penyerang kelab Jerman, 1. FC Köln, Osako muncul wira buat Jepun apabila tandukannya tepat memasuki gawang Colombia pada minit ke-73.

Gol kemenangan Jepun itu hadir hasil hantaran Keisuke Honda dari sepakan sudut ke arah tengah kawasan kotak yang dimanfaatkan dengan baik oleh tandukan Osako.

Selepas ini Jepun dijadual menentang Senegal pada Ahad ini manakala Colombia akan bertemu Poland pada Isnin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN